Mulakan dengan...

Mulakan dengan...

Friday, January 8, 2010

OBESITI/KEGEMUKAN...adakah anda???


Secara amnya, obesiti merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Obesiti kini dianggap sebagai satu penyakit dan terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Selain daripada mengehadkan kegiatan fizikal dan sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek.

Siapakah yang tergolong dalam obesiti?

Orang yang mempunyai berat badan sekurang-kurangnya dua kali lebih berat berbanding ukuran ideal, melebihi 45 kilogram berat badan sepatutnya, Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 40 atau 35 (sila lihat di bawah untuk bagaimana mengira BMI), Mengalami beberapa penyakit seperti tekanan darah tinggi atau diabetes (kencing manis); dan Gagal mengekalkan berat badan yang sihat dalam jangka panjang sekalipun mengikut diet yang disarankan oleh pakar-pakar pemakanan.

Makanan dan kesesuaian

Pemakanan yang sihat sangat penting untuk tubuh kita. Ini kerana diet pemakanan yang sihat sebenarnya dapat membantu menghasilkan tenaga serta dapat membantu tubuh kita bekerja dengan lebih baik. Tentu ramai di kalangan anda yang gemar menghabiskan masa berada di hadapan televisyen. Aktiviti sebegini memang menyeronokkan, tetapi anda harus ingat aktiviti seperti ini sebenarnya tidak bagus untuk tubuh badan anda. Aktiviti ini dipanggil sebagai aktiviti statik kerana anda hanya duduk dan tidak sedikit pun melakukan senaman bagi membakar kalori dalam tubuh badan. Ini mungkin boleh mendatangkan kegemukan. Untuk itu, bagi merangsang tubuh badan supaya bergiat aktif, anda bolehlah melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh seperti bermain, menari, menyertai acara sukan, mengemas rumah atau mencuci kereta di waktu lapang atau apa sahaja aktiviti yang dirasakan sesuai dengan keupayaan anda. Dengan melakukan aktiviti seperti ini, kita juga dapat membantu otot-otot kita menjadi kuat.

Apakah berat badan sepatutnya?

Manusia dilahirkan dengan saiz, tinggi, dan bentuk badan yang berbeza. Sebab itu, tidak semua orang mempunyai ketinggian, bentuk, dan berat badan yang sama. Berat badan sepatutnya dikategorikan sebagai sederhana, iaitu tidak gemuk dan tidak pula kurus. Jika anda hendakkan berat badan sebegini, anda perlu menjauhi makanan yang mengandungi banyak lemak dan kalori. Tetapi, jangan berlapar sehingga badan berubah menjadi kurus. Makanlah dengan cukup. Oleh itu, banyakkan makan makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana badan anda amat memerlukan makanan tersebut.

Pemakanan

Tahukah anda apa itu asimilasi makanan? Asimilasi makanan ialah proses pencernaan dan penukaran makanan berkhasiat menjadi tisu hidup. Di samping itu, dengan adanya pemakanan, kita juga dapat mengetahui bagaimana badan kita bekerja. Dalam pemakanan ini terkandung semua jenis pengelasan makanan, misalnya vitamin, protein, lemak, dan sebagainya.

Makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tenusu, dan bijirin sebenarnya dapat membantu pertumbuhan serta kesihatan tubuh badan anda.


Apakah Indeks Jisim Badan?

Indeks Jisim Badan (BMI) (bahasa Inggeris: Body Mass Index) merupakan formula untuk menilai berat badan serta berkait rapat dengan ketinggian seseorang itu. BMI merupakan pengukuran tidak langsung komposisi badan kerana ia amat berkaitan dengan lemak yang terdapat dalam berat badan serta ketinggian seseorang individu itu.



Jika anda ingin tahu berat badan serta ketinggian anda itu menepati ciri-ciri berat badan yang ideal atau tidak, anda boleh menggunakan pengiraan BMI seperti berikut:

Ukur berat badan anda dalam kilogram (kg) dan tinggi dalam meter (m):



Risiko kesihatan

Sekiranya berat badan anda bertambah, pelbagai keadaan serta masalah boleh berlaku, antaranya ialah:

Penyakit kardioviskular (berkaitan dengan jantung)
Strok (angin ahmar)
Tekanan darah tinggi
Batu hempedu
Diabetes (kencing manis)
Paras kolestrol darah yang tinggi
Gout
Sakit di bahagian bawah belakang badan
Sukar bernafas
Osteoartritis spina (tulang belakang), pinggang atau lutut
Gangguan pembuangan air kecil
Penyakit hati
Barah usus 


0 comments: