Mulakan dengan...

Mulakan dengan...

Monday, January 18, 2010

ENDOMETRIOSIS MAKIN MERUNCING

PENYAKIT ENDOMETRIOSIS

Penyakit endometriosis merupakan sejenis penyakit yang agak luar biasa. Ramai yang tidak mengetahui tentang penyakit ini sedangkan sekarang makin ramai wanita yang menghidapinya. Di antara masalah yang ditumbulkan oleh penyakit ini ialah senggugut dan kesakitan , kemandulan dan keguguran yang mungkin berulang-kali. Ia juga boleh menyebabkan berbagai jenis masalah seperti pendarahan, gangguan kencing, kesakitan dan lain-lain.

Apakah sebenarnya penyakit Endometriosis?

Penyakit endometriosis ini adalah satu keadaan luar biasa di mana tisu dari selaput dalam rahim yang digelar endometrium telah tumbuh di bahagian yang tidak sepatutnya iaitu di luar rahim. Selaput ini biasanya luruh bersama-sama darah haid. Oleh itu campuran darah dari rahim dengan tisyu yang telah berkecai daripada lapisan endometrium serta kuman-kuman bakteria, menjadikan apa yang digelar darah kotor atau darah haid.



Bagaimana endometrium terjadi?

Pada kebiasaannya tempat-tempat di luar rahim di mana tisu endometrium ini tumbuh ialah pada:

1- OVARI/ Kilang telur
2- UTERO SACRAL LIGAMENT/ Belakang rahim
3- TIUB FALLOPIAN/ pundi-pundi kencing,
4- di tempat-tempat yang aneh seperti parut bekas pembedahan untuk melahirkan anak ataupun pembedahan.
5- Endometrium ini juga boleh tumbuh dengan luar biasa saiznya pada dinding/otot rahim menyebabkan penyakit yang digelar Adenomyosis. Dinding rahim menjadi besar dari biasa dan membengkak.


Bagaimana tisu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat-tempat yang luar biasa, tidaklah diketahui dengan tepat. Terdapat beberapa teori yang cuba menjelaskan berlakunya keadaan seperti ini. Di antaranya ialah ada kemungkinan darah kotor melimpah atau tumpah ke belakang rahim melalui saluran fallopian. Mungkin ini disebabkan oleh rahim yang kedudukannya luar biasa iaitu jatuh ke belakang ke arah tulang tongking (retroverted uterus).

PUNCA ENDOMETRIOSIS

*Keadaan rahim begini sering dikaitkan dengan penyakit endometriosis sedangkan pesakit yang memiliki rahim yang menghadap ke hadapan (anteverted) jarang ada penyakit endometriosis.

* Ada juga yang menyatakan bahawa tisu endometrium ini di bawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar. Tetapi hakikat sebenarnya kita tidak tahu bagaimana ianya berlaku.

* Ada juga yang mengaitkan bahawa endometriosis ini sering berlaku di kalangan wanita-wanita yang sering tertekan jiwa mereka (stress), yang mudah menggelabah dan di kalangan mereka yang sangat mementingkan kerjaya dan mereka yang tinggi I.Q.nya.

* Ada juga yang mengatakan bahawa system ketahanan pada wanita tersebut telah lemah dan lentur, oleh itu tisu- tisu yang patut keluar dari tubuhnya kini menyerang balik tubuh badannya sendiri. Apa yang terjadi ialah apabila tisu endometrium ini melekat pada tempat tempat tertentu, ia mulai tumbuh. Lapisan endometrium menjadi tebal akibat daripada rangsangan hormon wanita dalam pusingan haid dan apabila haid berlaku lapisan endometrium tersebut juga akan mengeluarkan darah. Jika keadaan begini berlaku dalam telur (ovari) lama kelamaan darah akan berkumpul serta menyebabkan apa yang digelar ovarian cysts atau chocolate cysts kerana mengandungi darah kotor yang berbentuk seperti paste coklat.


Simptom-simptom endometriosis

SENGGUGUT

* Tanda yang paling utama sekali di kalangan wanita ialah senggugut ataupun kesakitan pada bawah perut dan pinggang. Senggugut ini mungkin dialami dari sejak remaja lagi dan ia berterusan dan mungkin tidak reda walaupun selepas kahwin. Ada setengahnya lega sekejap lepas berkahwin dan melahirkan anak tetapi senggugut ini akan timbul balik akibat daripada penyakit endometriosis.

Kesakitan yang dialami biasanya berlaku sebelum datangnya haid yang biasanya berbentuk kesakitan yang amat kuat pada bahagian ari-ari dan sering juga ke bahagian pinggang.

Biasanya rasa sakit akan reda selepas dua atau tiga hari sahaja, tetapi jika keadaan di mana endometriosis ini telah merebak dengan banyak, kesakitan ini mungkin akan berterusan waktu haid dan walaupun haid sudah berhenti kadang-kala kesakitan masih ada lagi.

Ini menunjukkan bahawa penyakit ini berada di peringkat yang teruk dan mungkin telah melibatkan kerosakkan pada dinding dan otot rahim.

Kesakitan sewaktu bersama

Kesakitan juga dialami ketika melakukan persetubuhan khususnya jika suaminya menekan agak kuat sedikit dan kesakitan juga mungkin dialami waktu membuang air besar khususnya pada waktu haid. Ini disebabkan oleh perdarahan yang berlaku dibelakang rahim yang mungkin melibatkan usus besar.

Gangguan lain ialah ketidaksuburan dan kemandulan. Ini adalah masalah besar di kalangan pengidap-pengidap penyakit endometriosis. Mereka tidak sedar yang penyakit ini mungkin telah terjadi, yang mereka tahu ialah mereka sukar untuk mengandung, samada buat kali pertama ataupun selepas melahirkan seorang anak ia tidak dapat hamil lagi beberapa tahun kemudian.

Bagaimana endometriosis menyebabkan kemandulan?

Sebenarnya ada beberapa penjelasan

1. Penyakit ini boleh merosakkan kilang telur menyebabkan ia tidak boleh keluar benih.

2.Ia menyebabkan kerosakan pada saluran fallopian menyebabkan benih lelaki tidak boleh masuk untuk bertemu dengan telur.

3. Endometriosis ini juga mengeluarkan beberapa jenis racun yang mungkin mematikan benih dan telur atau embryo.

4. Ia menimbulkan gangguan-gangguan hormon yang biasanya mengawal kesuburan wanita.
Tetapi di kalangan pengidap endometriosis ada juga yang boleh hamil walaupun tanpa diberi rawatan.

Inilah kebesaran serta kehendak Allah s.w.t.

Endometriosis boleh menyebabkan keguguran yang berulang-kali

Endometriosis juga boleh menyebabkan kehamilan gugur di peringkat awal iaitu tiga bulan pertama kehamilan. Bagaimana ia menyebabkannya kita tidak mengetahui, tetapi ada kemungkinan endometriosis menyebabkan gangguan dalam hormon wanita ataupun ia menimbulkan keadaan beracun yang boleh membunuh atau menganggu pertumbuhan janin. Kadang-kala wanita yang mengidap penyakit endometriosis boleh gugur berulang-kali.

Tanda-tanda atau gangguan lain akibat dari penyakit endometriosis termasuklah berbagai jenis kesakitan di bahagian perut, dibawah perut atau di bahagian pinggang serta juga berbagai masalah perdarahan samada waktu haid atau di luar waktu haid seperti haid yang banyak atau yang berpanjangan. Kadang-kadang berlaku perdarahan di luar waktu haid.

Mendiagnos penyakit endometriosis

Daripada tanda-tanda/simtom-simtom tersebut kita sering mengesyaki pengidap berpenyakit endometriosis dan ini dapat disahkan melalui beberapa pemeriksaan serta ujian. Apa yang biasa dilakukan ialah untuk pesakit yang disyaki mempunyai tanda-tanda endometriosis mereka menjalani pemeriksaan ultra-saun melalui bahagian kemaluan dan dari situ doktor dapat mengesan kedudukan rahim mungkin jatuh ke belakang (retroverted) dan bila dibahagian dalam ditekan dengan jari doktor bahagian belakang rahimnya akan merasa sakit. Ujian ultrasound melalui faraj (vaginal sonography) juga adalah sangat penting kerana ia boleh mengesan pertumbuhan cyst pada bahagian kilang telur.

Rawatan penyakit endometriosis

Oleh kerana kebanyakan daripada mereka yang bertemu doktor mengalami masalah ketidaksuburan telahpun berulang-kali gugur disertai oleh senggugut, mereka memerlukan rawatan yang sewajarnya. Yang penting sekali tujuan rawatan ialah untuk mempercepatkan wanita tersebut hamil , kerana keadaan hamil ini boleh mengawal pertumbuhan atau menghapuskan sama sekali penyakit endometriosis ini.

Kehamilan itu sendiri merawat endometriosis daripada merebak.

Pembedahan untuk membuang pertumbuhan endometriosis

Jika terdapat pengumpulan darah yang banyak dan busuk iaitu chocolate cyst ataupun keadaan kedudukan rahim yang terbalik (retroverted) pembedahan akan dilakukan. Biasanya saya sendiri mencadangkan pembedahan secara laparoscopy disertai dengan pembedahan kecil pada bahagian bawah perut dengan irisan lebih kurang dua atau tiga inci untuk membuang tumbuhan cyst serta untuk membersihkan dan membuat cautery yakni tembakan pancaran laser pada bahagian-bahagian yang terkena pertumbuhan endometriosis.

Pembedahan ini juga membolehkan doktor membetulkan rahim yang terbalik dengan menjahit rahim ke otot perut di bahagian hadapan (ventro-suspension of the uterus). Setelah ini dilakukan, bahagian peranakan serta bahagian sekitarannya akan dibasuh dengan cecair untuk menghilangkan segala kotoran dan keracunan yang dikeluarkan oleh endometriosis. Jika terdapat sumbatan pada saluran fallopian ketika pembedahan, keadaan ini juga akan diperbetulkan sekali.

Selain daripada cara pembedahan, rawatan dengan ubat-ubat sering juga dilakukan untuk merwat penyakit ini. Di pasaran terdapat banyak ubat-ubat hormon yang digunakan di antaranya hormon-hormon Progesterone yang mana di antara jenamanya ialah Primulut, Norculut atau lain-lainnya yang digunakan selama enam hingga sembilan bulan dengan tujuan untuk menghentikan haid. Juga terdapat ubat-ubat seperti Danazol yang mana tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan haid dan mengurangkan pertumbuhan endometriosis ini.

Dalam beberapa tahun yang lepas terdapat ubat-ubatan terbaru yang diberikan secara suntikan sebulan sekali dalam bentuk berbagai jenama seperti Zoladex.

Suntikan-suntikan tersebut agak mahal sedikit dan ia memberi kesan sampingan seperti yang dialami oleh wanita yang sedang putus haid. Kesan sampingan yang lain seperti apabila memakan pil Danazol ialah perubahan-perubahan yang menimbulkan sifat kelelakian seperti tumbuh rambut dan suara menjadi kasar. Peningkatan berat badan juga merupakan satu kesan sampingan juga.

Saya sekarang ini kurang menggunakan ubat-ubat tersebut untuk merawat pesakit-pesakit endometriosis khususnya mereka yang mempunyai masalah kemandulan atau keguguran yang berulangkali. Saya lebih suka melakukan pembedahan untuk membetulkan kedudukan rahim dan juga melakukan lain-lain pembetulan dan pembersihan di dalam dan persekitaran rahim kerana hasil dari segi mendapatkan kehamilan berlaku dengan lebih kerap dan cepat lagi. Apabila wanita itu hamil, Insya Allah penyakit endometriosis ini terkawal dan jarang berulang lagi.

Bolehkah penyakit berulang?

Penyakit endometriosis adalah sejenis penyakit yang tidak diketahui apa puncanya dan ia sering berterusan tumbuh serta merosakkan peranakan dan usus. Kerosakan ini boleh menyebabkan seorang wanita terus mandul, atau mengalami kesakitan yang amat teruk. Pada kebiasaanya jika wanita itu hamil dalam masa setahun lepas pembedahan, kemungkinan ia berulang agak kecil. Tetapi jika tidak hamil lepas dua tahun, kemungkinan ia berulang adalah besar.

Selain dari kehamilan, kita tidak mengetahui dengan tepat kaedah mencegah penyakit endometriosis dari berulang.

*Tetapi amalan mengawal pemakanan, iaitu dengan menjauhkan makanan yang menyebabkan alahan seperti beberapa jenis makanan laut, daging lembu atau kambing. Banyakkan sayuran dan protin terutama dari jenis ikan dan kacang soya.

*Latih diri untuk tenang fikiran dan jauhi gangguan emosi. Gunakan kaedahkaedah untuk menangkis stress dengan berfikiran positif.

Pembedahan buang rahim (hysterectomy)

Pembedahan untuk membuang rahim dan ovari juga satu rawatan yang terakhir bagi mereka yang mengalami penyakit endometriosis yang teruk sekali dan semua organ seperti rahim dan kilang telur telah rosak.

Ia mungkin tidak berfungsi lagi dari segi kesuburan dan daya upaya untuk hamil. Di samping itu ia menyebabkan masalah kesakitan yang amat sangat setiap bulan ataupun secara berterusan dan mengganggu kerja seharian. Ia mungkin juga menimbulkan gangguan haid yang tidak terkawal yang mengganggu kehidupan seharian serta menyebabkan masalah hubungan suami isteri dan juga mengganggu wanita untuk membuat amal ibadah

Jika ini berlaku, tiada pilihan lain melainkan melakukan pembedahan besar iaitu untuk membuang rahim serta kilang telur. Pilihan ini biasanya kita tangguhkan sehingga wanita itu sampai ke umur 40 lebih tetapi dalam keadaan di mana penyakit itu sangat teruk. Kita juga melakukan pembedahan ini diperingkat tiga puluhan tahun apabila tiada harapan lagi untuk wanita itu hamil.

Rumusan

Penyakit endometriosis ini ialah satu penyakit yang aneh di mana banyak perkara yang tidak diketahui tetapi menimbulkan berbagai-bagai masalah pada wanita. Kita tidak tahu mengapa darah kotor berkumpul di belakang rahim dan di kilang telur.

Ada setengah pakar-pakar perubatan Islam yang beranggapan bahawa darah ini adalah makanan jin dan mungkinkah ada kaitan orang halus mengganggu peranakan seseorang wanita dan mengganggu agar ia tidak boleh mempunyai zuriat.

Oleh itu kaedah-kaedah rawatan alternatif juga perlu dilakukan serentak dengan cara cara moden, kaedah perubatan Islam, kaedah ubat ubat tradisional boleh digunakan selagi cara-cara tradisional ini tidak menyebabkan syirik.

Mungkin juga terdapat ubat-ubat herbal yang belum dikenalpasti lagi yang mungkin masih ada di hutan kita yang berpotensi untuk merawat penyakit endometrosis dan memulihkan keadaan kembali subur seperti biasa.


Petikan dari http://www.hamidarshat.com/index.php?option=com_content&task=view&id=72&Itemid=214&limit=1&limitstart=1

0 comments: